Friday, April 17, 2009

Tazkirah Untuk Dikongsi


Salam,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji hanya bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan keluarga serta para sahabat.

Sekadar ingin berkongsi khutbah jumaat yang disampaikan oleh khatib pada solat jumaat tadi. Khatib menyentuh tentang segala urusan di dunia ini semuanya di dalam ketentuan Allah SWT.
Kekayaan yang kita miliki, kesihatan kita, rumahtangga kita bahkan yang lebih besar kerajaan yang mendukung sesebuah negara semuanya adalah ketentuan daripada Allah SWT. Sambil memetik firman Allah:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

"Katakanlah: Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Ditangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha berkuasa ke atas sesuatu"

QS Ali' Imran 3:26

Janganlah kita bongkak dan sombong sangat dengan Allah SWT, dalam sekelip mata Allah SWT boleh tarik segala nikmat yang diberikan olehNya. Hari ini kita sihat, malam ini, esok atau lusa belum tentu kita sihat. Jadi sentiasalah ingat kepada Allah SWT.

Setapak kita melangkah kehadapan belum tahu lagi apa akan berlaku dihadapan kita. Begitulah sedikit sebanyak yang disampaikan oleh khatib tadi. walaupun tak dapat nak kupas detail tapi cukuplah serba ringkas agar menjadi panduan buat diriku dan anda semua.

Hidup ini hanyalah sementara, yang pasti maut pasti akan menjemput. Semua hartabenda akan pergi meninggalkan kita tapi yang tinggal hanyalah ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa dari anak yang soleh.

Jadilah insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Visi kita yang tertinggi adalah pertemuan kita dengan Allah SWT. Misi kita adalah bekerja sekuatnya kerana Allah SWT dengan mengikut panduan Rasulullah SAW dan nilai kita adalah berdasarkan Al Asma Ul Husna. Insyaallah kita akan jadi insan yang cemerlang di sisi Allah SWT.

Wallahua'alam

No comments: