Salam,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Segala puji dan puja hanya untuk Allah SWT, Tuhan sekelian alam.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan seluruh para sahabat baginda.
Alhamdulillah, lama rasanya aku tidak berkarya disini, sama ada ceduk hasil org lain ataupun hasil nukilan dari aku sendiri. Entah, jiwa ini rasa seperti kosong tidak bererti, malah untuk mencoretkan di sini juga aku tiada punya kekuatan lagi. Apa yang membuatkan aku berprasangka begini? Aku sendiri tidak mengerti, hanya Allah sahajalah Yang Maha Mengetahui. Hebat manapun manusia, apa yang berlaku pada diri sendiri pun kita tidak tahu apa yang terjadi. Lalu kenapa kita masih lagi sombong dan engkar pada Al Khaliq, tidak mahu beriman dan bertaqwa kepadaNya.
Agak lama juga aku tidak pergi recharge di training ESQ, Alhamdulillah, tanggal 16 Oktober yang lalu dengan izinNya, kebetulan dapat cuti gantian sempena Deepavali. Aku kembali ke dewan training bukan sebagai peserta mahupun sukarelawan tetapi sebagai alumni ESQ. Terasa lama benar tidak menikmati suasana training disebabkan kesibukan masa dan beberapa keadaan yang tidak mengizinkan sehinggakan 2 kali tawaran sebagai ATS terpaksa aku menolaknya. Agak berkarat juga diri ini dengan ilmu2 Allah SWT. Alhamdulillah dengan izinNya dapat kembali menikmati ayat2 Al Quran yang dikupas dan diulas begitu menarik sekali, malah begitu enak sekali kedengaran kata2 dari para trainer. Training pada kali ini dibawa oleh Bapak Rinaldi dan Mas Aminul Rahman. Terlihatkan kelibat Pak Rinaldi dan Aminul teringat kenangan pada pertama kali menghadiri training ESQ pada April 2008 oleh mereka.
Alhamdulillah dapat bertemu kembali sahabat lama En. Azli (Kosas) dan saudara baru Dr Keegan Abdullah, yang juga telah sekian lama menghilangkan diri dari training ini. Terfikir betapa hikmah paling besar dalam training ini adalah silaturrahim sesama alumni, walaupun telah lama tidak bertemu tetapi kemesraan pasti menyapa ketika bertemu kembali.
Ketika break pagi sebelum sesi outer journey, sempat bersua muka bersama Pak Aminul. Terkejut aku disapa oleh Pak Aminul "Bang, lama menghilang". Terharu aku, ternyata beliau masih mengingati diri ini. Sempat bertanyakan khabar sebelum masuk kembali ke dalam dewan untuk sesi seterusnya.
Lama aku tidak mengikuti sesi outer journey, sedikit perkongsian dan pengkisahan berkenaan outer journey. Ianya mengisahkan tentang penjelajahan kita merentasi alam semesta raya. Kita dibawa terbang dan menjelajahi ruang angkasa sambil menikmati dan merasai ciptaan Allah SWT. Kita terbang bukan dengan pesawat tetapi kita terbang dengan jiwa yang tunduk dan patuh pada Allah SWT. Maha Suci Allah, betapa Allah Maha Kuasa akan segalanya.
Secara ringkasnya, kita dibawa untuk melihat bagaimanakah alam semesta ini wujud dan bagaimana permulaan awalnya alam semesta ini. Melalui kajian para saintis dahulu maka wujudnya teori "Big Bang" yang mengatakan bahawa dahulunya alam ini adalah suatu cantuman yang padu. Apabila berlaku satu letupan yang besar maka semuanya terpisah dan berlakunya pengembangan dan penyejukan yang akhir membentuk galaksi-galaksi dan bintang-bintang dan akhirnya terbentuknya air yang memberi kehidupan kepada manusia sekarang ini. Letupan ini berlaku lama dahulu iaitu 15 billion tahun yang lalu (boleh search mana2 website yg banyak menceritakan tentang teori "Big Bang" ini).
Sedar atau tidak, teori "Big Bang" ini Allah SWT telah sebutkan dalam firmannya di dalam Al Quran. Allah SWT telah menyebutnya dalam Al Quran 1400 tahun yang lalu melalui Rasulullah SAW.
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi. Seraya berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari siksa neraka".
QS Al Imran 3:190 -191
"Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya adalah satu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga beriman".
QS Al Anbiya' 21:30
Maha Benar Allah dengan firmanNya
Selepas menikmati segala kekuasaan Allah SWT, terasa diri ini begitu kerdil sekali disisi Allah. Selama ini begitu sombong dan angkuh dengan segala apa yang ada. Ternyata semuanya adalah milik Allah SWT semata-mata. Diri ini hanya pinjaman sahaja, kelak semuanya akan dikembalikan kepadaNYA. Kelak semuanya akan hancur, yang kita sayang, rindu dan cinta semuanya akan pergi meninggalkan kita dan akhirnya yang kekal hanyalah Zat2 Allah SWT. Tanpa sedar airmata ini bagaikan sukar dibendung lagi menitis mengakui segalanya dari Allah SWT. Menadah tangan mensyukuri nikmatNya yang telah memilih aku untuk menyaksikan segala kebenaran ini. Dan menadah tangan memohon keampunan dariNYA.
"Ya Allah ampunilah segala dosa2 ku, dosa kedua ibubapaku, isteriku, anak2ku, seluruh anggota keluargaku sama ada yang masih hidup mahupun yang telah mati dan seluruh muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat".
"Ya Allah tidak Engkau jadikan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah aku daripada azab siksa neraka". Al Fatihah Ameen.
Walaupun hanya mengikuti training ini separuh hari, ternyata kesan begitu mendalam sekali. Ingin rasanya berkongsi dan mengajak semua orang yang mengenali diri ini akan kebaikan yang terdapat di dalamnya. Tetapi apakan daya aku, untuk menjadikan ianya satu kenyataan, hanya kata2 indah saja yang mampu diungkapkan kerana masih terdapat belenggu yang perlu dipecahkan yang masih melingkari hati. Semoga diri ini sentiasa diberkati olehNYA dan menjadi Rahmatan lil alamin. Insyaallah
Begitulah sedikit sebanyak coretan yang ntah apa2 ntah, bagi menghidupkan kembali blog yang dah hampir padam ni.
Ini bukan sekadar kata-kata agar kamu menyukainya, namun ini adalah kejujuranku. Mengapa aku berkata seperti ini? Kerana aku menyukai orang-orang yang mencintaiNya, yang mencintai rasulNya. Dan dengan itu, diharap keteguhan ini bisa mengajak aku untuk semakin dekat dan mencintaiNya.
Keindahan dunia dan kemewahannya memang banyak menjebak diri kita ke perangkapnya. Bukan itu saja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kita agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Tidak sedikit yang sanggup durhaka kepada Allah SWT hanya kerana kenikmatan dunia yang terlalu sedikit.
Wallahua'alam
No comments:
Post a Comment