|
|
KEPALA BATAS 25 Jun – Menggelikan. Itu pandangan biasa mengenai lintah lantaran keadaan fizikalnya yang licin berlendir, hitam, melekit selain sifatnya yang suka menghisap darah.
Lintah atau nama saintifiknya hirudo medicinalis tergolong dalam spesies cacing yang banyak terdapat di hutan hujan tropika dan dikenali sebagai haiwan kecil yang memiliki nilai terapeutik ke atas sistem perubatan sejak zaman kuno lagi.
Kajian-kajian perubatan yang dijalankan sebelum ini mengesahkan lintah mempunyai enzim yang dapat menahan darah daripada terus membeku semasa gigitannya sekali gus melancarkan peredaran darah.
Tidak hairanlah, haiwan yang juga dikenali sebagai ‘little drakula’ ini semakin popular di kalangan penternak haiwan ekoran permintaan tinggi lintah untuk kegunaan bahan asas produk kosmetik dan perubatan.
Menyedari hakikat itu, dua sahabat karib menubuhkan syarikat Arowana Vision Sdn. Bhd. yang mengusahakan perniagaan pembiakan lintah secara komersial di Jalan Bawah, Penaga di sini sejak empat tahun lalu.
Lebih menarik, pengalaman berharga sepanjang tempoh itu dijadikan panduan oleh Badrul Hisham Ramli, 41, dan rakannya, Muhamad Mohd. Ali, 40, untuk menghasilkan produk-produk kesihatan dan kecantikan berasaskan lintah.
‘‘Pada mulanya, kami menghasilkan produk berasaskan lintah dikenali minyak Stay D-Oil secara kecil-kecilan selain menjual benih-benih lintah kepada pengusaha-pengusaha baru.
‘‘Ekoran sambutan menggalakkan terutamanya oleh pengamal perubatan kepada produk Stay D-Oil, kami mengorak langkah untuk menghasilkan pula produk-produk kesihatan berasaskan lintah dengan campuran beberapa jenis herba,” kata Badrul Hisham ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Badrul Hisham berkata, hasil kajian dengan pakar kesihatan dan herba, syarikatnya menghasilkan tiga produk kecantikan jenama Herbattus berasaskan lintah dan campuran herba.
Menurutnya, jenama Herbattus yang dihasilkan syarikat tersebut terdiri daripada tiga produk iaitu sabun, pembersih muka dan losyen badan.
Sabun Herbattus yang mengandungi hirudin daripada ekstrak lintah, limau purut, minyak zaitun dan mas cotek berkesan dalam menghilangkan bau badan, memulih dan memperbaiki tisu-tisu kulit selain menegangkan kulit.
Pembersih muka Herbattus pula katanya, diformulasikan berasaskan hirudin, habbatus sauda, madu lebah dan mas cotek bagi kegunaan pencerahan kulit, menambah kesegaran muka serta menghilangkan jerawat dan jeragat.
‘‘Losyen badan Herbattus yang turut mengandungi campuran ekstrak lintah dan enam jenis herba termasuk halia, mas cotek dan habbatus sauda pula dicipta bagi kegunaan menghilangkan sengal dan sakit otot, melancarkan perjalanan darah, sakit kepala, kembung perut, selulit, mengempiskan perut dan amat sesuai kepada ahli sukan,” tambahnya.
Badrul Hisham menambah, walaupun baru berada di pasaran selama tiga bulan, sambutan terhadap produk-produk baru syarikatnya sangat menggalakkan.
Menurutnya, syarikatnya sedang menjalankan kajian untuk menghasilkan beberapa lagi produk lain seperti syampu dan losyen muka tidak lama lagi.
Pada masa sama, Badrul Hisham dan Muhamad berhasrat untuk menaik taraf pusat operasi pengeluaran syarikat bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran produk mereka pada masa depan.
‘‘Selain itu, pelbagai langkah juga diambil untuk meningkatkan penghasilan sendiri tanaman herba seperti mas cotek selain menambah jumlah ternakan lintah bagi meningkatkan keluaran produk.
‘‘Syarikat kami juga sedang mencari ejen-ejen yang berminat memasarkan produk Herbattus dalam usaha meluaskan pasaran produk kami di seluruh negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, selain membantu usahawan-usahawan kecil untuk berkecimpung dalam ternakan lintah dan tanaman herba, Badrul Hisham dan Muhamad juga menyediakan kursus ternakan haiwan itu kepada mereka yang berminat.
Badrul Hisham berkata, mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai produk-produk keluaran syarikat itu boleh menghubungi Arowana Vision di talian 016-4835469 dan 019-4737766 atau melayari laman web www.arowanavis.com.
Rujukan:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0626&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment