Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
"Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pokok yang baik, yang pangkalnya tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat"
QS Ibrahim 14:24 - 25
Dewasa ini kita lihat Islam seperti dinjak injak oleh manusia sama ada yang bukan Islam ataupun daripada umat Islam itu sendiri. KIta lupa bahawa agama Islam yang kita akui dan yang kita warisi ini sebenarnya cantik dan indah. Kedatangan Rasulullah SAW adalah rahmatan lil alamin kerana membawa peraturan hidup yang disebut sebagai agama Islam (Ad Din Al Islam). Jika agama Islam ini benar-benar difahami, diamalkan dan diperjuangkan di semua bidang dan aspek secara mendalam, bukan hanya di aspek-aspek tertentu, maka sudah tentu agama Islam akan menjadikan manusia berkasih sayang, menghubungkan silaturahim, mengeratkan ukhuwah, menjadikan anak-anak taat kepada orang tua, ayah ibu senantiasa memberi kasih sayang kepada anak-anak, isteri senantiasa patuh kepada suami setelah taat kepada Allah dan Rasul, suami senantiasa bersimpati kepada isterinya. Seorang pemimpin akan menjadi payung bagi seluruh masyarakat, menjalankan keadilan terhadap seluruh rakyat. Ulama akan menjadi obor, penasihat kepada seluruh peringkat masyarakat. Orang kaya akan terdorong menjadi bank, sehingga tidak perlu lagi mendirikan bank Islam. Selain itu, Islam juga akan mendorong peniaga bertindak jujur dalam perniagaan, orang miskin redha dalam kemiskinan atau setidaknya sanggup bersabar. Masyarakat bersih dari maksiat, krisis, kejahatan, perkelahian dan peperangan. Akhirnya manusia akan hidup harmoni, bersatu padu, aman, damai, selamat dan bahagia. Itulah yang disebut sebagai Al Jannatul Ajilah atau Syurga yang disegerakan di dunia. Syurga sementara sebelum di akhirat nanti akan dihadiahkan Syurga Allah yang sebenarnya kepada mereka yang berhasil mewujudkan keselamatan dan kebahagiaan itu.
Bacaan lanjut di sini
Namun amat malang sekali, di dalam pengalaman hidup kita selama ini, kita belum dapat merasakan Islam itu cantik dan indah. Kita belum dapat merasakan ketenangan Islam, kebahagiaan Islam dan kedamaian Islam. Kita belum dapat menyaksikan suatu masyarakat yang bersih dari kemungkaran, kejahatan dan bersih dari segala bentuk krisis. Kita belum dapat merasakan kecantikan dan keindahan agama Islam. Mengapa? Sejak kejatuhan empayar Islam yang terakhir iaitu empayar Othmaniah, sejak itulah umat Islam seluruh dunia tidak lagi mempelajari, memahami dan seterusnya memperjuangkan Islam dengan lebih hebat, secara keseluruhan dan dalam ruang lingkup yang luas. Yang kita fahami hanyalah dalam aspek-aspek tertentu sahaja dan amat terbatas sekali.
Marilah kita menyedari bahawa Allah S.W.T memerintah orang-orang yang beriman supaya beramal dengan seluruh ajaran Islam. Beramal dengan sebahagian dan menolak dengan sebahagian yang lain adalah langkah-langkah syaitan. Firman Allah:“Wahai orang-orang Islam masuklah kamu ke dalam islam seluruhnya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang nyata."
QS Al-Baqarah 2 : 208
Kecerdasan spiritual tiada lagi dalam diri umat Islam dewasa ini. Umat Islam sekarang ini sibuk untuk mengejar dunia yang hanya sementara dan akhirnya semua yang dikejar akan hilang dan manusia akan dihadapkan depan Allah S.W.T untuk menjawab segala apa yang mereka lakukan didunia semasa hayat mereka. Islam bagi setengah orang hanya dimulut tapi hati penuh dengan berhala. Nauzubillah
Sebagaimana Allah S.W.T telah menggambarkan ajaran Islam yang utuh itu laksana sebatang pohon yang rendang yang akar tunjangnya benar-benar menghujam ke bumi dan pucuknya menjulang ke langit, menjadikan pohon itu setiap saat berbuah dengan izin Allah SWT.
Mudah-mudahan kita semua diberikan keampunan oleh Allah S.W.T dan mendapat manfaat daripada apa yang dipaparkan disini.
Wallahua'alam